Pages

Tuesday, May 22, 2012

Bingung.

ٱلْيَوْمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَٱخْشَوْنِ ۚ ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا
Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Al-Maidah: 3)


Baru-baru ini saya menerima satu kertas kerja untuk diteliti dan dihadam untuk kesekian kalinya. Ciri-ciri khusus Islam. Dan saya terjumpa ayat di atas, yang menerangkan bagaimana sepatutnya Islam itu. Dan sejak kebelakangan ini juga banyak perbincangan-perbincangan, bahkan telah lama sebenarnya, di laman-laman sosial dan juga diskusi berhadapan.


Apa yang menarik saya lihat, masing-masing mempunyai idea dan padangan untuk dilontarkan, sama ada pro atau kontra dengan isu. Walaupun hakikatnya saya tidak banyak mencelah masuk di dalam perbincangan, bukan bermakna saya berdiam diri dan tidak membuat apa-apa. Tetapi sedaya mungkin, kita cuba mencari titik temu dan persamaan antara keduanya. Kenapa saya cari? Kerana ini bukan pertembungan antara Islam dan kafir, atau perbalahan antara PAS dan UMNO, tetapi ini adalah perbincangan saudara-saudara saya yang Muslim juga. Maka pastinya saya hormati kedua-dua belah pihak, atau pihak ketiga, yang berdiam diri. Maka pasti ada relevannya setiap pandangan mereka. 


Islam dan kehidupan.


Islam, seperti firman Allah swt,


إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Ali-'Imraan: 19)


Para ulama' menjelaskan bahawa ad-deen itu adalah tidak bermaksud agama sahaja pada frasanya, tetapi bermaksud satu cara hidup yang universal. Apabila disebut sebagai cara hidup, maka pastinya ia adalah satu garis panduan, satu nilai kualiti, satu cara terbaik untuk hidup. Maka sepatutnya jangan kita menilai Islam itu dari sudut pandang kita menilai agama lain, bahkan nilailah Islam dari kacamata Islam sendiri. Sumber rujukan utama dan sahih ialah Al-Quran dan As-Sunnah.


Kita lihat pula ayat selepasnya.


وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. (Ali-'Imraan: 19)


Saya tertarik dengan ayat ini. Agama-agama samawi sebelum Nabi Muhammad diutuskan, pasti juga adalah ad-deen untuk mereka, iaitu satu cara hidup terbaik bagi umat mereka, pada masa itu, kerana datangnya daripada Allah swt. Allah juga menceritakan bagaimana Ahli Kitab ini akan menerima Islam apabila mereka faham (mendapat pengertian yang benar) tentang Islam, dan bagi yang tidak mahu menerima Islam pula, mereka lebih mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah. Pemikiran berubah. Teknologi berubah. Cara hidup juga berubah. Maka Allah menurunkan satu lagi manual cara hidup terkini untuk umat. Maka itulah Islam.


Realiti umat ISLAM.


Sekarang kita lihat realiti pula. Saya yakin dan benar-benar yakin bahawa firman Allah yang pertama saya sebut di atas adalah benar. Bahawa Islam itu sudah lengkap. Tidak ada apa yang perlu diperbetulkan dengan Islam. Namun kenapa masih ada perbahasan dan perbincangan? Kerana Islam itu pada asasnya hanya manual cara hidup. Terpulang pula kepada bagaimana kita menggunakan Islam. Adakah cara kita  menggunakan itu betul? Atau hanya betul pada saat dan ketika itu sahaja? Islam menetapkan peraturan-peraturan yang boleh, yang tidak boleh, dan sangat banyak yang harus dilakukan. Kebanyakan kita silap meletakkan yang harus itu di tempat yang tidak boleh (haram), atau terlampau boleh sehingga melampaui yang sedia boleh (wajib). Natijahnya apa? Natijahnya, kita sendiri hanyut dalam 'Islam' kita sendiri. Contohnya apa? Berdemonstrasi haram. Berpolitik di dalam masjid haram. Memakai baju bergambar ketika solat tidak boleh. Dan banyak lagi yang 'stereotaip' dalam pemikiran umat Islam. Islam eksklusif untuk umat Islam sahaja, atau untuk golongan tertentu sahaja.


Allah swt berfirman lagi,


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًۭا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Rum: 30)


Kita tadabbur ayat ini. Islam itu bukan sekadar cara hidup, tetapi menepati fitrah kejadian manusia. Manusia fitrahnya mahu berpakaian, maka Islam beri fesyen. Manusia mahukan harta, maka Islam beri cara menguruskannya dengan baik. Manusia perlukan pasangan, maka Islam sediakan satu sistem. Tetapi apabila ada manusia yang tidak mahu mengikut Islam, maka pasti dia telah mengubah fitrah kejadian dirinya. Mengubah diri daripada wanita menjadi lelaki contohnya, atau daripada meminati kaum berlawanan jenis kepada kaum sejenis, dan sebagainya. Apabila berlaku kecelaruan identiti sebegitu, pasti cara hidup Islam sudah tidak lagi menepati kehendak mereka. Tetapi perlu diingat, tidak akan mampu manusia mengubah keseluruhan fitrah kejadian mereka.


Kita nampak ranting banyak, sehingga lupa pohonnya satu.


Baiklah. Sekarang ini hangat isu tentang seorang penulis liberal, Irshad Manji yang ingin datang ke Malaysia dan melancarkan buku beliau. Kedatangan beliau menerima bantahan hebat. Soal bantahan itu saya tidak mahu perkatakan. Tetapi saya tertarik apabila kita melabel seseorang itu dengan sesuatu gelaran, maka kita menutup sepenuhnya ruang untuk berbicara dan berkongsi pendapat dengan mereka. Sehingga laman web mereka pun 'haram', buku mereka pun 'haram', segala-galanya berkaitan mereka pun haram mungkin. Saya kira, pertembungan berlaku antara mereka yang cuba mencari identiti mereka (liberalis, sekularis, sosialis, kapitalis dan sebagainya) dengan golongan agama yang cuba melindungkan Islam dengan menjadikan Islam hak peribadi. Perlu diingatkan di sini, saya menyebut golongan agama, bukan para ulama' kerana ulama' sangat terbuka, sangat hebat dan profesional apabila berhadapan dengan masalah-masalah sebegini.


Saya percaya juga bahawa apabila seseorang itu tidak mahu menerima sistem Islam, berpunca daripada beberapa faktor penyebab yang telah menimbulkan satu persepsi buruk dengan sistem tersebut. Apabila begitu, saat mereka menyalahkan sistem, dan mencadangkan sistem dan cara mereka sendiri yang dirasakan lebih sesuai, selesa, dan memihak kepada golongan seperti mereka, terbitlah apa yang dinamakan liberalisme, dan sebagainya. Ramai orang memandang itu sebagai satu ancaman kepada aqidah umat, tetapi saya menganggap itu sebagai suatu cara mereka mencari sesuatu yang benar sebenarnya, namun yang benar itu terselindung. Maka apa yang perlu saya katakan, ada dalam cadangan mereka ini sebenarnya adalah Islam, dan ada yang dipertahankan golongan agama itu cumalah satu adat dan ketakutan bersifat peribadi dan kelompok tertentu.


Akhir kata, saya teringat dahulu, apabila saintis Barat menceritakan itu ini tentang sains, tentang teori-teori falsafah dan sebagainya, maka umat Islam pun berkata, "al-Quran sudah menceritakan ini suatu ketika dahulu. Lihatlah ayat sekian-sekian..." Hari ini, saya bimbang apabila masyarakat Barat juga yang menceritakan sistem ini perlu begini begini, ini salah dan ini betul, bimbang kita malas untuk melihat Islam yang sebenar untuk kita katakan juga kepada mereka sambil tersenyum, "Islam sudah mencadangkan ini di dalam al-Quran dan Hadis sebenarnya... Ikutlah cara Islam..."


"Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan," ungkap pensyarah Hubungan Etnik saya berkali-kali pada setiap kali kelas kami diadakan.


WalLlahu a'lam.


*Jujurnya, saya masih takut untuk menulis ini, tetapi setakat ini saya yakin, maka saya tetap tulis. Namun saya mohon pencerahan lagi sekiranya ada pembetulan daripada pembaca. Mencari bukan menghafal, tetapi mencari dan mengerti. 

Thursday, May 17, 2012

Nak tulis...

Saya nak menulis. Banyak benda yang boleh kita kongsi sebenarnya. Kata Irfan Khairi si Jutawan Internet itu, setiap hari kita sentiasa ada ilmu dan idea baru yang boleh dijana dan diaplikasi, malangnya, sentiasa ia akan hilang begitu sahaja. Pernah berlaku bukan? Oh pasti selalu. Hari ini apa idea menarik kita? Maka cadangannya, sila catat setiap idea menarik itu! Catatlah di mana-mana. Buku nota, kertas kajang, di tangan, notepad, asalkan bertulis. Nanti pasti akan boleh diingat kembali. Dan err, tahukah anda, saya juga fikir begini sejak saya kecil lagi. Idea menarik perlu ditulis, tetapi selalu yang berlaku, apabila saya fikir begitu, saya tidak juga tulis yang saya perlu tulis setiap idea yang lahir. Hah, pening? Baca lagi. Saya selalu tidak tulis apabila saya fikir saya perlu tulis idea menarik. Menulis idea menarik itu adalah satu idea menarik yang perlu ditulis. Pening? Haha. OK. Ambil pen, sila tulis ini di atas kertas besar-besar, "Saya perlu tulis setiap idea menarik yang terlintas di fikiran saya!" Ok. Faham. AlhamduliLlah. Namun malangnya, idea menarik itu perlu lebih banyak di'brainstorm', perlu banyak diteliti, dan diperhalusi dan dimurnikan, dan dan dan... Dan itu sangat mengambil masa. Untuk menulis idea menarik, maka ia pasti kompleks. Kompleks itu yang mengambil masa. Dan selalunya, apabila saya mahu menulis, klik sahaja 'new post', tiba-tiba teringat "Alamak! Esok ada presentation, petang ni kena hantar lab report!" Sungguh potong stim. Hilang niat nak menulis, tumpukan pada yang lebih penting dulu. Sangat sibuk. Apa-apa pun, cukuplah bulan Mei sahaja. Jun jangan kacau. Julai sambung balik.

Dan kesedihan saya apabila Management Planner saya yang kehilangan di MMP sebulan lepas, sudah ku dapati. Kembali ceria. Eheh. Terima kasih kepada insan bernama Kamilah A. Rahman, yang bersusah payah menghantar kembali kepada saya. Siapa kenal beliau? Saya serius tak pernah kenal. Dia orang PCB. Mengikut nama dan alamat pada sampul surat. Tetapi, fail dokumen program dan buku nota mesyuarat pula hilang. Tertinggal di Dewan Kuliah Pusat 3, sewaktu forum bersama Ashraf Muslim & Diana Amir. Sebab tertinggal? Sebab aku sampai hari ni masih tak percaya hari tu aku dok sebelah Ashraf Muslim & Diana Amir, sambil gurau gurau gelak gelak dan kacau mengacau. Adeh. Minta maaf sekali lagi buat Abang Ashraf & Kak Diana, saya memang macam ni. Dan oleh kerana itu, aku tertinggal beg bersama isi-isinya sekali di sana. Mana nak cari balik? Dah cari tapi tak ku jumpa di DKP 3 tersebut.

Ini daripada iPhone kak Diana
iPhone Abang Ashraf
OK sila jangan jealous. Abang-abang saya, Abang Saiful Rahman di UniMaP berforum bersama Dr. Farhan Hadi dan Ustazah Fatimah Syarha. Abang Zufar Marwah di UTM berforum bersama Ustaz Dr Ismail Musytari & Ustazah Fatimah Syarha. Pasti ketiga-tiga soal cinta, kahwin awal. Hmm. Semua jadi moderator. Termasuk saya di USIM, bersama artis. Bukan ustaz ustazah. Hehe. Walaupun kak Diana bicaranya seolah-olah ustazah. Dan akhirnya, saya tertinggal buku nota, bag dan fail. Forum ini pun banyak sebenarnya yang mahu dikongsi. Tetapi, err, catat dahulu dalam buku nota. Okey.

....................
Saya kata: Aku tak takut mencuba. Walaupun pertama kali. Dan *woah* aku menulis juga hari ini!!!

Tuesday, May 1, 2012

Terima kasih JUTAWAN!

Dua hari lepas, saya seharian di Ampang. Ada apa? Ada ini....




Hehehe... Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Norita, dan Fakulti Sains & Teknologi yang menaja kami. Eh kalau mereka tahu hari sebelum tu aku dah 'berkejar-kejar', konfem tak dapat.


Saya pergi agak lewat. Maklumlah letih belum hilang. Namun persepsi awal saya, mulanya agak mengecewakan. Namun selepas seorang demi seorang jutawan hebat berbicara di pentas, saya melihat dari persepsi lain. Kebanyakan peserta, adalah para usahawan MLM. Pelajar. Aduh. Saya agak skeptis dengan MLM sebenarnya. Bukan soal halal dan haram, tapi soal potensi usahawan MLM. Wang mereka memang saya akui banyak, tapi wang itu tidak mampu membina peribadi seorang jutawan yang hakiki.


Dalam ramai-ramai jutawan (12 orang semuanya), saya tertarik dengan tiga orang jutawan. Pertama, bagi saya, dia adalah jutawan paling kaya di atas pentas, Dr. Zahazan Mohamed. Dia jutawan ilmu. Kedua, Abang Man, jutawan kicap dan sos di Ireland. Kerana beliau mahu sumbangkan seluruh hartanya untuk perjuangan Gerakan Islam. Itu kata-kata beliau yang menyentap hati manusia seperti saya. Dan ketiga, Imran Koyube. Beliau bijak dan berwawasan.


Di sana, jelas, ada pelbagai aliran manusia. Ada yang MLM, ada yang mempunyai syarikat sendiri, ada yang berfikiran kapitalis, ada segala-galanya. Mereka kaya, mereka punya harta, mereka multimillionaire. Namun persoalannya, saya suka apabila sesi malamnya, ada satu forum antara jutawan-jutawan dan moderatornya Imran Koyube. Imran mantap memberi persoalan. Persoalan yang cukup mendalam ertinya. Antaranya, "Jika anda mati malam ini, anda mahu diingati sebagai apa?" "Sekiranya anda mempunyai wang sebanyak 1 billion ringgit, apa yang akan anda lakukan dengan wang tersebut?" dan beberapa lagi soalan yang bagi saya, cukup untuk membezakan siapa jutawan yang benar-benar bijaksana menguruskan wang yang mereka ada.


"Saya serahkan semua wang ini untuk perjuangan Islam."
Berani buat macam tu?
Saya tertarik dengan jawapan mereka. Tentunya agak berbisa untuk menjawab soalan berkenaan mati ini bukan, bagi mereka yang belum bersedia? Hehehe. Ada yang berfikir panjang, kemudian menjawab, sebagai anak, saya mahu diingati sebagai anak yang soleh. Sebagai suami, saya mahu diingati sebagai suami yang bertanggungjawab terhadap anak dan isteri. Sebagai bla bla bla... Hampir semuanya begitu. Hingga tiba satu jawapan yang cukup indah bagi saya. "Tidak perlu terkenal kerana wang yang banyak. Tapi tinggallah nama yang baik untuk disebut-sebut manusia sepanjang zaman. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama." Beliau menceritakan pada zaman Imam Bukhari r.a, ada seorang kaya yang menjemput Imam Bukhari ra. ke rumahnya. Beliau mahu menunjukkan kepada Imam bahawa salahkah dia mempunyai rumah besar seindah syurga, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai? Imam berkata, tidak salah. Namun kekayaan beliau tidak menjadikan nama beliau disebut-sebut sehingga hari ini walaupun rumahnya bak syurga di dunia. Akan tetapi, Imam Bukhari yang hidupnya biasa-biasa itu, disebut-sebut namanya, didoakan pula "radhiaLlahu 'anhu". Hebat bukan? Beliau menceritakan lagi kisah khalifah 'Umar bin Abdul Aziz yang kaya-raya, namun menginfakkan kekayaannya kepada Islam. Sungguh hebat.


Sesudah selesai forum tersebut, saya mencari-cari dimanakah jutawan hebat tersebut. "Dr, saya cuma nak bergambar ngan jutawan paling kaya saja. *senyum*" kata saya kepada Dr. Norita. "Siapa?" "Ustaz Zahazan, Dr," saya berbisik. Kami mencari-cari beliau, rupanya beliau sudah bergerak pergi menghilangkan diri. Sedih rasanya. Namun sempat lagi bergambar bersama Imran Koyube. Hehe.


Jadilah jutawan yang kaya akhlak. Nescaya harta segunung emas pun tidak menggugah diri.


*Ingin jadi jutawan? Formula mudah, semakin banyak anda memberi apa yang anda ada sekarang, semakin banyak anda akan dapat pada masa akan datang. Percaya atau tidak? Yakinlah. =)

Monday, April 16, 2012

Di manakah?

Malam itu, tergesa-gesa budak itu berjalan ke bilik tutorial 1.7 FPQS. Dijemput menghadiri mesyuarat untuk program i-FIKR. Mesyuarat bermula sejak 8 malam lagi, namun saat itu sudah mencecah pukul 9. Agak lewat. Bukan dia sengajakan, namun baru pulang dari KLCC selepas menghadiri World Halal Research Summit 2012.

Pintu dikuak, termengah-mengah menhirup udara dingin yang menyegarkan di dalam bilik tutorial. "Alamak!" terkejut dia. Dalam ramai jawatankuasa penggerak Pameran Sains Islam i-FIKR di dalam bilik tersebut, rupanya tiada lelaki selain dia. Itu baru kejutan pertama. Kejutan kedua, "Awak, cube tengok kat whiteboard tu." Kak Hanan bersuara. "Erk!". Tertulis di papan putih, tertera namanya di sebelah perkataan Pengarah. Dengan berat hati, menggagahkan semangat sebagai 'imam', dia merelakan diri.

Itu cerita budak itu.

Awal semester dua, saya ditaklifkan untuk mengendalikan satu program untuk pelajar tahun satu FST, Jom Rancang. Dalam ramai-ramai jawatankuasa penggerak, hanya 3 sahaja lelaki termasuk saya.

Tidak hairan kalau dalam kelas cuma ada 3-4 lelaki berbanding perempuan yang jumlahnya 20-30 orang. Nisbah 1:10. Tetapi untuk aktiviti-aktiviti bebas di luar kuliah, ko-kurikulum, rupanya tiada juga lelaki. Bahkan lebih teruk! Nisbahnya 1:50! Di mana lelaki?

Saya teringat kata-kata Prof Madya Dr. Norita, Timbalan Dekan FST sewaktu program Kem Halatuju FST, katanya, kita selalu doa selepas solat,
"ربنا هب لنا من ازواجنا وذرياتنا قرة اعين واجعلنا للمتقين إماما".
Tetapi hakikatnya, "wa ja'alna lil muttaqina imaama" itu tidak terjadi. Dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa. Yang diimpi cuma baris doa di hadapan sahaja. Aduh.

Wahai para lelaki, janganlah sikit itu menghalang daripada terus gagah menjadi imam di hadapan para wanita. Ingatkah dengan firman-Nya, 

...ٱلرِّجَالُ قَوَّ‌ٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ 
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan... [An-Nisaa':34]

Saya bimbang, jika suatu hari nanti, cuma lelaki pada Pengarah, CEO, Presiden, dan Pengerusi sahaja. Orang bawahannya semua perempuan. Sukar sekali tanggungjawab itu. Bahkan untuk berkahwin pun seorang lelaki hanya dibenarkan empat sahaja isteri. Inikan pula menguruskan organisasi. Perit. Sehingga saya pun terbiasa, sejak menjejak kaki ke bumi USIM, 'dikelilingi' wanita-wanita setiap masa. Discussion tugasan, meeting dan sebagainya, dek kerana tiada lelaki lain. Cabarannya? Sungguh sukar untuk menjaga hati, menjaga pandangan, menjaga lisan, menjaga kelakuan bila terjadi begitu. Saya bimbang bakal isteri saya suatu hari nanti cemburu yang teramat. Moga dia sentiasa berjaya menjadi ratu di hati suaminya walau dikelilingi ramai wanita yang teramat ramai. =) *alamak lari topik sikit*

Oh lelaki. Bantulah saya ini.

Tuesday, April 3, 2012

Fuh!

Saya ingat saya masih dalam jadual menulis lagi. Eh rupanya entri terakhir adalah pada 2 Mac. Hampir sebulan lamanya tidak menjenguk CF. Teruk sangat. =.=!

****************
Tulisan kali ini tidak serius sebenarnya. Sekadar mahu melepaskan rindu dan tekanan sendiri. Hehe. Sempoi jelah. Kenapa sampai begitu sekali lama tidak menulis? Hah ingat lagi tak yang entri berkenaan sibuk itu? Oh sibuk itu sangat menguji... Bayangkan sejak awal bermulanya semester 2, dari tarikh entri terakhir yang bercerita tentang Pertandingan Simulasi Perniagaan, hingga hari ini, langsung saya tidak ada masa yang cukup untuk menulis. Percaya atau tidak, hujung minggu tidak pernah ada yang saya bisa qailulah selepas Subuh sampai Zohor. Eh. Tidaklah begitu. (Percaya ke? Haha). Dari awal minggu pertama kuliah semester dua, terus ke Kem Halatuju FST untuk bakal Sekretariat baru. Minggu seterusnya, Program Malaysian IHL Business Plan Competition (MIBPC) Bootcamp, minggu seterusnya 'terpaksa' menguruskan program Jom Rancang untuk semua pelajar tahun satu Fakulti Sains & Teknologi, dan minggu seterusnya, *ehem* saya mengembara berjumpa sahabat-sahabat terchenta~ ^_^ (kembara satu malam membawa seribu satu kenangan) dan minggu selepasnya (minggu lepas la tu), Kursus Protokol anjuran ULPM USIM, err walaupun saya tak pergi pun sebenarnya, kerana bertembung dengan perjumpaan lain, iaitu Bengkel Mini untuk pendebat FST USIM (ceh xleh blah mengaku debaters. haha). Sebenarnya minggu ini, ada pertandingan Kejohanan Debat Naib Canselor USIM 2012. Hehe. Agak sengit pertandingannya kerana team FST walaupun hampir kesemuanya tiada pengalaman langsung berada di medan perdebatan, namun berjaya memenangi dua daripada lima pusingan liga itu sungguh membanggakan. Kalau menang tiga tentunya dah berjaya ke suku akhir. Ngeehehe~ Tapi takpe Hanif, Syafiq, Radhi, Wan, Syifa, Anym, Alia, Yati, dan Asma, kita cuba lagi tahun hadapan. InsyaAllah suku akhir itu pasti milik kita! Hehe.

Dan hari ini, oh sempat pula saya menulis hari ni ye? Hehe memangle sebab....

1 pagi, 3 April 2012...

Saya sedang menonton filem Mission Impossible 4: Ghost Protocol. Kemudian *tuuut tuuut* henset di tangan bergetar mesra. Mesej daripada Che Yah. "Kelas Fizik pada pukul 8-10 pagi esok dibatalkan. Tetapi ada assignment di dalam GOALS." Huhu. Ada jugak. Apa-apa pun, makluman pada pukul 1 pagi itu memungkinkan saya untuk tidak membuat apa-apa janji temu dengan sesiapa, mahupun mengatur satu kelas tutorial untuk Kimia Organik. Erk! Harap-harap Dr. Nik tak bace ni. Hehe.

Sekian! Jumpa lagi lain kali kalau ada masa lagi~ Hujung minggu ni ada apa? Hujung minggu ni start cuti mid-sem~!!! Bai bai~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...